Wednesday, June 25, 2008

Contoh Karangan Perbahasan

Contoh Karangan : Perbahasan

Soalan: Cuti sekolah sepatutnya dijadikan masa rehat kepada para pelajar, bukan dibebankan dengan kelas tambahan dan kerja sekolah yang banyak. Sebagai salah seorang ahli pihak pembangkang, nyatakan hujah-hujah anda.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif dan bijaksana, saudara-saudari daripada pihak pencadang, tuan pengetua, dan para hadiri sekalian.

Pada pagi yang berbahagia ini, saya sebagai pembangkang ingin menyampaikan perbahasan saya yang bertajuk ‘Cuti Sekolah Sepatutnya Dijadikan Masa Rehat Para Pelajar, Bukan Dibebankan Mereka Dengan Kelas Tambahan Dan Kerja Sekolah Yang Banyak.’

Perkara ini jelas terpampang di hadapan kita, tuan-tuan dan puan-puan. Walau bagaimanapun, nampaknya pihak pencadang bermati-matian mempertahan pendapat mereka yang tidak mempunyai alasan-alasan yang kukuh, malahan cuba pula menegakkan benang yang basah, hadirin dan hadirat sekalian.

Setelah dua orang rakan saya daripada pihak pembangkang mengutarakan hujah-hujah mereka yang bernas dan konkrit, sampailah pula giliran saya memantapkan lagi pendirian kami berhubung tajuk perbahasan yang menarik lagi penting ini. Sebelum itu, izinkanlah saya menyatakan dengan tegas bahawa masa cuti sekolah tidak sewajarnya dijadikan waktu rehat kepada pelajar-pelajar. Mereka harus disediakan kelas-kelas tambahan dan tugasan kerja sekolah yang mencukupi serta berfaedah.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin sekalian.

Nampaknya, hujah rakan saya yang pertama telah dikelirukan dengan sewenang-wenangnya oleh pencadang yang kedua sebentar tadi. Pencadang kedua memberi kata putus bahawa masa cuti adalah hak pelajar untuk berehat setelah bertungkus-lumus begitu lama dengan pelajaran. Mereka tidak harus dibebankan lagi dengan tugas-tugas lain. Di sini, saya suka bertanya, siapakah yang ingin membebankan mereka? Bukankah dengan menyediakan kelas tambahan yang sistematik dan kerja sekolah yang berguna sesuatu yang baik? Jadi, tidak sedikit pun timbul konsep membebankan dalam hal ini, tuan-tuan dan puan-puan!

Demikian juga dengan pencadang yang menafikan bahawa masa cuti seharusnya diisi dengan kegiatan yang berguna seperti kelas tambahan dan kerja-kerja rumah yang berfaedah kepada para pelajar. Alasan yang diberikan nampaknya tidak jauh berbeza dengan pencadang kedua, iaitu kebebanan.

Saudara-saudari sekalian.

Di sini, saya ingin menegaskan bahawa dengan membiarkan pelajar-pelajar berehat tanpa perancangan yang teratur dan rapi, jauh lebih merugikan mereka, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Dengan itu, mahu tidak mahu, pihak sekolah perlu membuat satu perancangan yang rapi dengan merangka jadual waktu kelas tambahan yang sesuai untuk mereka. Saya tekankan ‘perkataan yang sesuai’, kerana melalui langkah yang bijaksana oleh pihak guru, tidak akan sedikit pun membebankan para pelajar. Bukankah perkataan ‘membebankan’ ini amat ditakuti oleh pihak pencadang?

Hujah saya yang kedua pula ialah berkaitan dengan kewajipan para pelajar. Sudah sedia menjadi tugas pelajar untuk belajar sepanjang masa. Namun, perlu diingat bahawa ini tidak bererti mereka tidak boleh mempunyai masa untuk berehat. Waktu rehat pada sebelah petang, hujung minggu dan cuti pada hari-hari kelepasan am sudah memadai untuk membolehkan mereka berehat bersama keluarga. Pelajar-pelajar juga sudah mempunyai waktu yang mencukupi untuk berekreasi, melancong dan beristirehat. Dengan itu, tidak menjadi kesalahan jika kelas tambahan dan kerja sekolah yang berpatutan diberikan pada masa cuti semester demi kebaikan mereka sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa cuti sekolah seharusnya digunakan untuk kegiatan kelas tambahan dan pelajar-pelajar juga diberi kerja sekolah untuk membolehkan mereka mengisi masa terluang itu dengan berguna dan praktikal serta bukan sebaliknya. Ini kerana dalam zaman yang serba maju ini amat berharga, bak kata orang ‘Masa itu emas.’

Sekian, terima kasih.

No comments: